Tuesday, October 18, 2011

BICARA HATI BAB 50

KEESOKAN harinya, Zahlia dan Tengku Syahran bersiar-siar di sekitar KLCC seperti yang dijanjikan.Mereka tidak banyak membeli barang tetapi gemar berlegar-legar di sekitar taman KLCC.
Setelah puas berjalan di situ, Tengku Syahran terus membawa Zahlia ke rumah teres dua tingkat milik Puan Azizah.Mujur wanita itu ada di rumah ketika Honda Prelude Tengku Syahran sampai di hadapan pintu pagar rumah teres itu.
    “Kenapa tak cakap awal-awal yang kamu berdua nak datang? Kalau tak, boleh mak
siap-siapkan apa-apa.” Suara Puan Azizah kedengaran dari dapur.
Zahlia dan Tengku Syahran yang sedang duduk di ruang tamu hanya berbalas senyuman.Itu rancangan Tengku Syahran secara mengejut.Zahlia sendiri tidak tahu.Ketika Tengku Syahran memandu keretanya memasuki ke susur Jalan Taman
Connought tadi barulah Zahlia perasan ke mana arah tujuan mereka selepas berjalan di KLCC.
    “Alia pergi jenguk mak kat dapur sekejap bang.Abang duduklah dulu tengok-tengok album lama tu.”
Tengku Syahran mengangguk. Zahlia terus menuju ke dapur.Ketika itu, Puan Azizah sedang membancuh air. 
   “Tak usah susah-susahlah mak.Kami singgah ni bukannya lama.Saja jenguk-jenguk
mak,” ujar Zahlia.
   “Alah, dah terlanjur kau datang ni, duduklah lama-lama sikit.Bukannya selalu.”
Zahlia tersenyum dan perlahan-lahan Zahlia memeluk lengan Puan Azizah mesra. 
   “Dah besar-besar pun nak bermanja lagi? Suami kau kat depan sorang-sorang
tu.Pergilah teman.”
   “Tak apa.Dia tengah tengok album lama.Mak masak apa hari ni?” 
   “Rezeki kau dengan Syah agaknya, Alia! Kata orang tu langkah kanan.Kebetulan ada sorang makcik tu upah mak masakkan laksa untuk jamuan anaknya pagi tadi.Terlebih-lebih pulak.Kau pun macam terbau-bau aje.Tiba-tiba menjenguk mak.”
Zahlia terus mencapai sudip dan mengacau kuah Laksa Penang yang sedang membuak-buak.Aromanya menusuk hidung dan amat menyelerakan.Teringat kehendak Tengku Syahran semalam yang bersungguh-sungguh mahukan Laksa
Penang.Nampaknya hari ni, kehendak lelaki itu dapat dipenuhi.
    “Alia, ni gambar Alia masa darjah berapa?” 
Tengku Syahran melangkah ke dapur lalu menunjukkan sekeping foto ketika Zahlia
berumur 12 tahun.Gambar menunjukkan Zahlia sedang mengambil sijil di atas pentas.
   “Oh, gambar tu masa Alia darjah enam.” 
   “Alia dapat anugerah apa ni?” soal Tengku Syahran. 
Zahlia menjungkitkan bahu.Tangannya ligat mengacau kuah laksa di dalam periuk
yang berasap-asap.Malas dia hendak menjawab.Puan Azizah yang sedang menyusun cawan ke dalam dulang segera mengintai foto tersebut.
   “Dapat anugerah pelajar terbaik, Syah! UPSR dia dapat A penuh.Tak pernah ponteng sekolah.” Puan Azizah menyampuk.
Tengku Syahran membesarkan mata.Zahlia sudah malu-malu di situ. 
    “Kenapa mak beritahu? Alia malaslah nak heboh-heboh.” Zahlia memuncung. Puan Azizah ketawa kecil bersama Tengku Syahran. 
   “Eh, mak masak laksa ke?”
Tengku Syahran tiba-tiba terhidu bau kuah laksa segera menegur.Tiba-tiba pintu seleranya terbuka luas.Zahlia memberi isyarat mata pada Tengku Syahran supaya
bersabar.
    “Ya,Syah.Rezeki kau agaknya!” pendek ucapan Puan Azizah. 
     “Dah mendidih kuah tu Alia.Senduklah dalam mangkuk dan hidangkan kat
depan.Kita makan sama-sama,” sambung Puan Azizah beberapa ketika.
Puan Azizah sudah keluar menuju ke hadapan sambil menatang dulang yang berisi
air.Tengku Syahran mengintai ke dalam periuk.
   “Cepatlah Alia! Abang dah kecur air liur ni.” Zahlia ingin ketawa melihat tingkah laku Tengku Syahran yang tidak sabar-sabar. 
   “Abang pergilah duduk kat depan dulu.Nanti Alia bawa kuah dengan laksanya.”    
“  “Biar abang  tolonglah.Lambat sangat Alia ni.Abang dah tak boleh tahan selera lagi.Teringin betul! Alia pergi bawa mi laksa tu dulu.”
Tengku Syahran mencapai mangkuk kaca di tangan Zahlia dan mula menyenduk kuah
laksa itu dari periuk.Zahlia mengetap bibir.Kalau dah teringin, apa-apa boleh berlaku! 
Zahlia terus mengambil mi laksa yang tersedia di dalam mangkuk menuju ke ruang
hadapan.
   “Syah mana? Tadi mak nampak dia yang beria-ia nak makan laksa.”
   “Tengah senduk kuah mak.Alia nak buat, disuruhnya Alia keluar.Entah apa kenanya
dengan dia tu sejak semalam.Sibuk sangat nak makan laksa,” bebel Zahlia sambil meletakkan mangkuk di tangannya di atas meja.
    “Kenapa kau tak masak?Dah tau suami tu teringin, Alia sebagai isteri kenalah
ikutkan.”
   “Bukan Alia tak mahu buat,Alia dah lupa cara yang mak ajar tu.Dah setahun tak
praktis.Nasib baik kami datang ni, ada rezeki! Kalau tak?”
Puan Azizah ketawa.Tengku Syahran muncul dengan mangkuk kuah di
tangannya.Perbualan Zahlia dan Puan Azizah terhenti.Selepas Tengku Syahran meletakkan mangkuk kuah laksa tersebut di atas meja, mereka terus menjamu selera.
Tengku Syahran tersenyum lega.Kehendaknya benar-benar telah dipenuhi.Zahlia yang 
sedang mengunyah di sisinya turut kelihatan berselera.Hampir pukul 11.00 malam, baru mereka bergerak pulang ke Villa Sakura.



LINDA menumbuk-numbuk permukaan meja berkali- kali.Sejak semalam, mulutnya tidak henti-henti melemparkan sumpah-seranah dengan kata-kata kesat.Kemarahan Linda makin meluap-luap.Penantiannya selama tiga bulan untuk melihat kejatuhan dan kemusnahan hidup Zahlia dan Tengku Syahran hanyalah sia-sia belaka.
Semalam, dia terserempak dengan pasangan suami isteri itu sedang membeli-belah di
Suria KLCC.Wah, bukan main ceria wajah kedua-duanya!
Macam tak ingat langsung dengan surat perjanjian yang ada pada aku.Linda bengang.Ugutan yang sengaja diada-adakan untuk menakut-nakutkan Tengku Syahran tidak langsung menjadi.
Apa yang dilihat oleh Linda di Suria KLCC semalam, amat menyakitkan hatinya.Betapa mesra kedua-dua insan itu berjalan bersama sambil berpimpin tangan bagaikan menarik-narik jiwanya untuk melakukan sesuatu.
Bersiap-sedialah Syah! Kau ingat aku main-main? Hari ini, kau akan sedar siapa Linda sebenarnya! Linda tiba-tiba ketawa besar.
Linda mematikan ketawanya.Kandungannya yang sedang membesar dipandang dengan jelingan.Dia mengutuk bayi di dalam perutnya.Setiap kali dia membayangkan saat-saat ketika bayi yang tidak diketahui bapanya itu, Linda pasti menyumpah sendirian.
Linda membuka laci mejanya.Tangannya mencapai sekeping kertas yang terselit
di antara fail-fail yang ada di dalamnya.Kertas yang masih kemas tanpa lipatan itu ditatap lama bersama senyuman yang terukir di bibirnya.
Kertas itu perlahan-lahan dimasukkan ke dalam sampul surat besar.Setelah mencatatkan sesuatu di permukaan sampul itu, Linda bingkas bangun. 
Linda keluar dari biliknya dengan beg yang tergantung di bahu dan sampul surat
besar yang tergenggam di tangan.Terkedek-kedek dia berjalan bersama perut yang memboyot.Ketika sampai di luar biliknya, suara bising staf-stafnya berbual menangkap pendengaran.Linda mula naik angin.
    “Ni, kenapa bersembang ni? Tak ada kerja nak buat?” marah Linda. 
Dua orang gadis yang sedang gelak ketawa tadi, terkejut disergah begitu.Kedua-
duanya terus berdiri dan tunduk di hadapan Linda.Takut dan gerun untuk merenung wajah majikan yang berbadan dua itu.
   “Maria, I nak keluar sekejap.Kalau sesiapa cari I tolong ambilkan pesanan!” ujar
Linda kepada salah seorang dari gadis yang sedang berdiri di hadapannya.
Maria tersentak mendengar suara lantang itu.Gementar dia mahu memandang raut bos yang ditakuti itu.Maria terus menundukkan wajahnya. 
   “You dengar tak apa yang I cakapkan ni?” sergah Linda. 
Maria gugup.Bagaikan lembu dicucuk hidung dia mengangguk laju.Linda terus berlalu. 
   “Ttt….tt…tapi Cik Linda, setengah jam lagi, Cik Linda ada meeting dengan credit card department.” Tiba-tiba Maria bersuara. 
Langkah kaki Linda terhenti.Dia baru teringat tentang mesyuaratnya itu.Segera
dia mendengus.
   “Postpone ke pukul 12.00 tengah hari.I ada kerja sekarang!” jawab Linda dan mula mengatur langkah. 
   “Pukul 12.00? Itu waktu lunch! Staf tak ramai masa tu Cik Linda.” Maria berkata lagi. 
Linda mengerutkan dahi.Matanya kian mencerlang merenung wajah gadis yang
berbaju kurung di hadapannya.
   “That’s not my problem! I nak you beritahu officer di credit card department, tepat
pukul 12.00 semua staf mesti dah ada katme eting room.Kalau I tak nampak salah seorang dari staf di bahagian credit card, I akan pecat sesiapa sahaja.Even you pun I boleh pecat.Faham?” tengking Linda kuat. Maria menarik nafas.Laju  kepalanya diangguk.
   “Baik Cik Linda.”
   “Sudah.Buat kerja you.Dari tadi I nampakyou dengan Ika tak habis-habis bersembang.” Linda mengomel. 
Maria mengerling teman di sisi yang turut membisu.Merah padam mukanya menahan malu.
   “Macam tak ada kerja!And you Ika, kalau tak ada apa-apa urusan penting, jangan nak menyibuk di tempat orang.Selesaikan kerjayou dulu.Go back to your place,” marah Linda lagi. 
Gadis bertubuh genit itu mencacak pergi apabila disuruh.Meluat dia melihat tubuh
gempal Linda yang kian menyakitkan hatinya.



LINDA memberhentikan kereta tidak jauh dari Villa Sakura.Dia duduk menyepi di situ untuk memastikan keadaan di Villa Sakura itu benar-benar tidak berpenghuni.Kemudian dia keluar dari kereta.Terhendap-hendap memerhatikan ruang villa dari celah-celah pagar besi.
Dengan pantas Linda memasukkan sampul surat itu ke dalam lubang peti surat
dan berpusing menghala ke kereta.Belum pun sempat Linda melangkah, dia terasa bahunya disentuh.
     “Linda….” satu suara menegurnya. 
Linda mati kutu.Perlahan-lahan dia memusingkan tubuh dan mendapati wajah Raja
Khalida berada di hadapannya.Wanita itu sedang memandangnya pelik.
    “Kenapa dari tadi Auntie Ida tengok Linda terhendap-hendap? Linda cari siapa?” soal Raja Khalida lembut. 
Linda menggeleng.Wajah Raja Khalida sengaja ditatap dalam riak sedih,Linda ingin
menutup mata Raja Khalida dengan lakonannya.Perlahan-lahan Linda tunduk ke lantai.
    “Linda ingat, Linda nak jumpa Auntie Badariah.Linda rindu sangat.Tapi, Linda
malulah auntie,” ujar Linda berpura-pura sedih.
Raja Khalida merenung wajah itu.Matanya terarah pada perut Linda yang memboyot
pula.Timbul rasa belas di hatinya mengenangkan nasib wanita yang lebih kurang sebaya dengan Zahlia.
    “Kenapa nak malu? Jom auntie bawakan,” pinta Raja Khalida. 
Linda menggeleng. 
    “Tak payahlah auntie.Linda dah banyak lakukan dosa.Linda tau ramai yang salahkan Linda dalam hal ni.Tapi Linda jugak manusia.Pernah melakukan kesalahan.Linda dah bertaubat auntie.Linda dah berjanji tak mahu buat perkara terkutuk lagi,” ujar Linda beria-ia.Dalam hatinya dia sendiri yang tahu betapa geli
perasaannya digeletek dengan ayat yang terucap di mulutnya tadi.
    “Lagipun auntie…Linda rasa tak sabar nak menatap muka baby ni.Walau apa pun
yang terjadi, dia tetap anak Linda.Linda yang bersalah sedangkan dia tak pernah tau apa-apa pun,” beritahu Linda tenang.
Raja Khalida tersenyum gembira mendengar pengakuan itu.Baguslah kalau betul wanita itu telah bertaubat. 
   “Baguslah Linda.Auntie seronok dengar Linda cakap macam tu.Jom auntie bawa Linda ke dalam.” 
   “Tak payahlah auntie.Kejap lagi, Linda adaappointment dengan doktor.Linda nakscan baby ni.Lelaki atau perempuan.” Suaranya sengaja diceriakan. Raja Khalida tersenyum lagi. 
   “Ermmm… baguslah.Bila doktor ramal tarikh duenya?” tanya Raja Khalida.    
 “ “Mungkin tiga bulan lagi,” ujar Linda. 
   “Okeylah auntie.Linda pergi dulu.Kirimkan salam Linda pada Auntie Badariah,” ujar Linda sambil menghulur salam pada Raja Khalida.
Wanita itu menyambut dengan senyuman. Linda berlalu.Sebaik sahaja Linda memboloskan diri ke dalam kereta, bunyi ketawa yang kuat pecah secara mendadak di mulutnya.Ketawa itu akhirnya bertukar menjadi tangisan kecil yang sengaja dibuat-buat.Tidak lama kemudian Linda menyepi di dalam kereta. 
Fikirannya sudah lupa segala-galanya.Tidak langsung diingat mesyuarat yang sedang
berlangsung di pejabatnya.Yang dia tahu hanyalah kegembiraan kerana hatinya puas.Tipu muslihatnya kini benar-benar menjadi.

No comments:

Post a Comment