Tuesday, October 18, 2011

BICARA HATI BAB 18

TENGKU HAKIMI dan Sofea sedang berada di dalam kereta.Mereka sedang menuju ke pejabat guaman milik rakan Sofea.Masing-masing tidak bersuara.Maklumlah pertama kali bersama. 
      “Cikgu, cikgu tak kisah kalau saya panggil nama?” soal Tengku Hakimi dengan nada yang tersipu-sipu. 
Sofea tidak menjawab pertanyaan Tengku Hakimi.Dia hanya melemparkan senyuman.Beberapa minit kemudian, Sofea pula bersuara. 
      “Kalau saya tanya Kimi satu soalan, Kimi boleh jawab tak?” 
      “Depends on the question.Tanyalah?” Lagu I Don’t Wanna Miss A Thing nyanyian Aerosmith berkumandang di dalam kereta.Suasana sunyi seketika. “Macam mana Kimi kenal dengan bekas isteri Kimi?“
       ”Kenapa tanya soalan tu?“Sofea hanya menggeleng.Dia tidak tahu apa yang hendak dijawab.Kemudian dia mengalihkan pandangan ke luar. 
      “Kami kenal dalam satu pertemuan yang diatur oleh keluarga,” ujar Tengku Hakimi. 
       “Kimi sayangkan dia?“soal Sofea masih memandang ke luar. 
       “Terlalu walaupun ia berputik melalui cinta pandang pertama.Kemudian kami berkahwin tapi tak sangka perkahwinan kami hanya sempat bertahan selama dua tahun aje.Dia tak setia sedangkan saya bermati-matian menyintai dia.” 
Sofea menoleh pada Tengku Hakimi yang sudah berubah wajah.Menyesal pula kerana membuka cerita itu.Tetapi hatinya membuak-buak ingin mengetahui kisah lelaki itu.Dia berasa selesa berdamping dengan anak jiran sebelah rumahnya itu. 
       “Maafkan saya kalau pertanyaan saya telah membuatkan Kimi terkenangkan kisah silam.”
      “Tak apa.Kisah tu dah lama berlalu.Dia betul-betul dah berubah.Saya akan cuba menerima hakikat itu.Yang penting, Murni milik saya sepenuhnya.”
      ”Tapi dia juga mama kepada Murni.Bukan niat saya mahu mencampuri urusan peribadi Kimi.Tapi, sebagai seorang wanita, saya dapat rasa yang dia merindui anaknya.” 
     “Saya tak halang dia menjenguk Murni, Sofea! Dia ada hak untuk datang berjumpa dengan Murni tapi saya takkan benarkan Murni tinggal dengannya sepanjang hayat.”
     “Murni pulak macam mana? Dia masih kecil dan memerlukan kasih seorang mama.Kimi tak boleh memikirkan hal ini bagi sudut Kimi aje.Kena fikirkan jugak kehendak Murni.”
     “Maksud Sofea?”
     “Di sekolah, Murni selalu bertanyakan hal yang pelik-pelik.Setiap hari pasti ada perkataan mama yang disebut.Saya kasihankan dia, Kimi!” 
Sofea teringatkan kata- kata Tengku Murni beberapa hari yang lalu yang menyuruhnya menjadi mama kepadanya.Tersentuh hati Sofea mendengarnya tetapi dia hanya mendiamkan diri.Hanya hari ini baru dia berkesempatan bercerita tentang hal itu. 
Tengku Hakimi terdiam.Dia pula teringat kata-kata Tengku Murni bersama Tengku Syahran beberapa hari yang lalu.Tengku Hakimi tahu anaknya memang rindukan belaian kasih seorang mama.Cuma dia yang masih takut untuk memperjudikan hidupnya kepada seorang wanita yang bergelar isteri.Dia takut cintanya dipermainkan lagi.Masih terasa keperitannya sehingga kini. 
     “Kahwinlah lagi, Kimi.Ia bukan aje baik untuk Murni tetapi jugak untuk Kimi.Takkan selamanya Kimi mahu hidup bersendirian?” soal Sofea lembut. 
Hati Tengku Hakimi tersentuh mendengar ayat Sofea.Dikerling sekilas ke arah Sofea.Gadis manis yang bertudung itu.Tiba-tiba dia terasa sesuatu yang aneh terbit dalam sanubarinya.Tengku Hakimi mengeluh. 
      “Kalau saya pilih Sofea sebagai calon mama kepada Murni, Sofea sudi terima?” tanpa diduga Tengku Hakimi berkata begitu. 
Sofea terkedu.Semakin laju denyutan jantungnya.Dia melamar akukah? 
      “Saya beri Sofea masa untuk fikirkan hal ini.Kalau Sofea setuju, saya akan suruh mak dengan ayah saya masuk meminang.Kita kahwin secepat mungkin.Saya tak perlukan masa untuk bercinta sebelum kahwin.Cukuplah sekadar saya mendapat seorang isteri yang setia dan mampu menjaga saya dan Murni seikhlas hati.Saya akan bercinta melalui itu.” 
Sofea tertunduk.Kelu lidahnya untuk membalas kata-kata Tengku Hakimi.Pada waktu itu mereka telah sampai di hadapan firma guaman milik rakan Sofea.Enjin kereta telah dimatikan.Sofea membisu di dalam kereta. 
      “Tolong fikirkan Sofea.Saya tau tindakan saya terburu-buru.Tapi saya perlukan wanita yang dapat menyayangi Murni lebih dari diri saya.Saya dapat lihat ciri-ciri itu dalam diri Sofea,“ujar Tengku Hakimi lagi. 
Sofea terus membisu. 
       “Jika betul-betul Sofea setuju, percayalah… saya takkan sia-siakan hidup Sofea.Saya akan cuba menyintai dan menyayangi Sofea dengan syarat, setia!” 
Sofea mula menoleh ke arah Tengku Hakimi.Melawan pandangan mata lelaki itu. 
      “Soal jodoh saya telah serahkan pada umi dan ayah saya.Kalau Kimi mahu jadikan saya sebagai isteri, berjumpalah dengan umi dan ayah saya dulu,” beritahu Sofea sedikit gugup. 
Tengku Hakimi tersenyum dan mengangguk.
       “Terima kasih.Saya akan hantar mak dan ayah saya.Jomlah… kita dah sampai.” Tengku Hakimi keluar diikuti Sofea dari belakang. 




“KAMU nak kami meminang Sofea?” tanya Tengku Badariah sedikit terkejut. 
      “Betul ke ni? Kamu tak main-main?” ayahnya Tengku Ismail pula inginkan kepastian. 
Tengku Hakimi telah menyuarakan hasratnya itu pada suatu malam ketika mereka sedang duduk bersembang.Tengku Ismail terkejut.
Selepas memberitahu hasratnya itu, Tengku Hakimi tidak bersuara.Hatinya berdebar-debar.Benarkah tindakannya? Tidakkah tergesa- gesa? 
Tiba-tiba wajah Sofea terbayang di ruang mata.Senyumannya memikat kalbu, tingkah lakunya sopan.Orangnya lembut.Jauh berbeza dengan Raja Jasmin.Sudah jatuh cintakah aku? Tengku Hakimi tertanya-tanya dalam hati. 
       “Mak tak nak kau ambil keputusan yang tergesa-gesa.Nanti apa pulak kata ayah dan umi Sofea? Tak pasal-pasal mereka ingatkan kau nak kahwin dengan Sofea sebab terdesak.Takut kehilangan Murni.” Suara Tengku Badariah memecahkan lamunan Tengku Hakimi.
Tengku Hakimi mendongak memandang emaknya.Memang jelas raut emaknya itu kelihatan risau. 
      “Kimi dah fikirkan semalaman.Kimi rasa Sofea yang sesuai jadi mama kepada Murni.Lagipun Sofea ada beritahu yang soal jodohnya telah diserahkan pada ayah dan uminya.Mak dan ayah hanya perlu merisik,” balas Tengku Hakimi. 
      “Kamu tak takut kalau keluarganya menolak?” tiba-tiba Tengku Ismail bersuara. Tengku Hakimi menelan air liur.Tidak langsung dia terfikirkan tentang hal itu. 
       “Kemungkinan lamaran Kimi ditolak mungkin datang dari ayah atau uminya.Kalau Sofea, Kimi rasa dia dah setuju.Kimi dah tanya dia face to 
face, dia yang cadangkan suruh Kimi tanya pada ayah dan uminya,” beritahu Tengku Hakimi. 
      “Kalau begitu hal ni dah tak jadi masalah.Kau beritahu Sofea, malam ni kita datang ke rumahnya.Yah, awak cari cincin untuk buat syarat.Kalau pinangan diterima, barulah beli yang betul-betul,” ujar Tengku Ismail. 
Tengku Hakimi tersenyum di dadanya mula hilang dan segera dia melangkah ke tingkat atas untuk menghubungi Sofea.

No comments:

Post a Comment