Tuesday, October 18, 2011

BICARA HATI BAB 29

PETANG Sabtu itu, Tengku Syahran pulang lewat dari 
pejabat.Sebaik sahaja sampai di pekarangan Villa Sakura, kedengaran suara riuh rendah di ruang tamu.Dengan pantas dia melangkah masuk.Kelihatan Tengku Hakimi dan Sofea sedang bergurau senda bersama Tengku Murni. 
     “Bila sampai along, Kak Sofea?” tanya Tengku Syahran sambil duduk di kerusi.      “   “Baru sekejap,” jawab Tengku Hakimi.Sofea hanya tersenyum.
    “Angah, kenapa balik lambat? Kan pagi tadi angah dah janji nak bawa Kak Alia ke pasar?” celah Tengku Hafizah tiba-tiba. 
Tengku Syahran lantas teringatkan wajah lembut si isteri yang belum ditatapnya sejak pagi tadi.Rasa berdosa bersimpul kerana membiarkan fikirannya melupakan kewujudan Zahlia di rumah itu. 
    “Sampai hati angah buat Kak Alia macam tu! Nasib baik Fiza tak ada kelas hari ni.Boleh jugak Fiza temankan Kak Alia ke pasar tadi.Kalau tak, bagaimana Kak Alia nak menjijit semua barang? Eee… angah ni, buat Fiza geram aje!” marah Tengku Hafizah lagi.
Tengku Syahran mencari-cari wajah Zahlia.Tidak kelihatan di situ.Rindunya kini membuak-buak.Di manakah dia? Hati Tengku Syahran berteka-teki. 
    “Mana Kak Alia?” terpancut soalan itu dari bibir Tengku Syahran yang sejak tadi tidak banyak bersuara.Tengku Hafizah menghentikan bebelan. 
   “Ada kat dapur.Pergilah pujuk, takut dia merajuk,” jawab Tengku Hafizah sambil memuncungkan mulut. 
Bagaikan disengat tebuan, Tengku Syahran bingkas bangun dan beredar dari ruang makan menuju ke dapur.Ketika kakinya melangkah ke dapur, dia ternampak belakang Zahlia yang leka membuat kerja.Tengku Syahran memberi isyarat kepada Salmah dan Siti supaya meninggalkan mereka.Kedua-duanya tersenyum bagaikan mengerti. 
Tengku Syahran melangkah mendekati Zahlia.Berharap agar wanita itu belum menyedari kewujudannya.Apabila mendapati tiada tindak balas, laju tangan Tengku Syahran memeluk tubuh Zahlia. 
    “Aaaaa!” Zahlia hampir menjerit kuat. 
   “Hei, abanglah!” ujar Tengku Syahran separuh berbisik. 
Zahlia mengeluh kecil.Pecah berderai segala lamunan yang entah apa- apa.Terasa tubuh sasa Tengku Syahran merangkul pinggang Zahlia kemas.Timbul rasa berang di dalam hati dengan kesempatan yang diambil.Tengku Syahran selalu begitu.Bila berada di hadapan keluarga sungguh berani merangkul tubuhnya.Kalau diikutkan perasaan Zahlia, mahu sahaja ditolak tubuh gagah itu dari melekat rapat di belakang badannya. 
Namun, apa dayanya.Zahlia takut Salmah dan Siti mengesyaki sesuatu.Lalu, dibiarkan pelukan mesra itu menyulam ke segenap pinggang.Sehingga merimaskan diri Zahlia yang sedang kepanasan.Zahlia sengaja menyibukkan diri dengan mengacau bubur keledek yang masih belum masak sepenuhnya. 
      “Bila abang sampai? Alia tak perasan pun?” Zahlia memaksa untuk berbicara. 
     “Baru aje.Abang penatlah.” 
      “Banyak sangat kerja ke?” Zahlia sekadar berbasa-basi. 
      “Hmm… penat sangat.Malam nanti boleh picitkan abang tak?” 
Permintaan Tengku Syahran menyakitkan hati Zahlia.Sempat Zahlia menjeling.Mengada-ngada betullah dia ni! Rungut Zahlia di dalam hati.Tetapi lain pula jawapan yang terluah.Zahlia setuju bagaikan lembu dicucuk hidung.Tengku Syahran tersenyum gelihati.Rancangannya menjadi. 
      “Maafkan abang sebab tak dapat temankan Alia ke pasar tadi.Abang baru perasan tentang tarikhdue tender yang perlu abang siapkan tu tinggal dua minggu aje lagi.” 
Penerangan Tengku Syahran menyejukkan hati Zahlia.Tadi hatinya benar- benar sakit menanti kepulangan Tengku Syahran.Mujurlah Tengku Hafizah sudi menemaninya ke pasar membeli barang-barang untuk majlis keluarga itu. 
      “Alia merajuk ke?” 
      “Tak adalah.Nasib baik Fiza ada temankan Alia.Kalau tak… jaga abang!”
Kata-kata Zahlia yang berbau ugutan itu hanya melahirkan kuntuman bahagia dalam diri Tengku Syahran.Hai, manisnya bibir itu mengungkapkan perkataan yang aku tunggu-tunggu ketika duduk berdua! 
Ah, Zahlia masih belum sedar yang ketika itu mereka sedang berdua di dapur.Kalau tidak, jangan harap Zahlia mahu menuturkan perkataan selembut itu.Semalam… aku baru terdengar dia memanggil aku dengan panggilan ‘abang‘.Hari ini… pasti susah mahu mendengar lagi.Keras kepala! 
      “Alia masak semua lauk tu?” pertanyaan Tengku Syahran dibalas dengan anggukan kecil. 
     “Pandai isteri abang.:” Pujian itu mengembangkan hati wanita yang mula ditambat angin sepi.Zahlia tersenyum kecil. 
     “Kenapa? Selama ni abang ingat Alia tak tahu memasak ke?” soal Zahlia meminta kepastian. 
Tengku Syahran ketawa di mana bunyinya kedengaran dekat dengan telinga Zahlia.Rangkulan yang masih melekat diperkemaskan lagi.Zahlia semakin berdebar.Pergilah! Cepatlah pergi dari sini! Ungkapan rayuan itu merayap-rayap di lubuk jiwa Zahlia. 
     “Abang lupa nak tanya, apa tujuan Alia ke rumah mak semalam?” 
     “Alia belajar buat kuih.” Jawab Zahlia acuh tak acuh. 
     “Kuih? Kuih apa?” 
     “Kuih pelita.Kan abang suka kuih pelita!”
Tengku Syahran menoleh sekejap ke arah kuih yang bersusun di atas kabinet.Makin mekar terasa kasih sayangnya terhadap Zahlia.Terlekat satu ciuman kudus di bahu Zahlia. 
      “Baguslah Alia cuba belajar sesuatu tentang diri abang.Abang pun dah banyak belajar tentang diri Alia.” Ayat itu semakin dekat di telinga. 
      “Apa yang abang tau?” suara Zahlia mulai mesra. Zahlia mula merasakan kehadiran Tengku Syahran seolah-olah mempelawa sedikit kebahagiaan di sudut hati.Tadi, sebelum Tengku Syahran pulang, Zahlia tidak banyak berbual dengan Salmah dan Siti.Zahlia sibuk dengan kerjanya. 
     “Macam- macam.Abang tahu Alia peminat setia penulis novel Norhayati Berahim dengan Fauziah Ashari, kan?” Zahlia tersenyum dan mengangguk.   
     “Lagi?” 
     “Emm.. suka menengking.” Sayup-sayup terdengar bisikan itu di cuping Zahlia. 
Zahlia ketawa kecil. 
     “Lagi?” 
      “Emm… Alia suka tidur atas katil seorang diri dan biarkan abang tidur kesejukan di atas kerusi.” Bunyi sebaris ayat itu sedikit kuat. Zahlia tersedar.Segera dia memusing dan mendapati dirinya hanya berdua dengan Tengku Syahran.Tiada Salmah dan Siti di ruang dapur itu.Cisss… dia gunakan taktik kotor! Sepantas kilat, tubuh Tengku Syahran ditolak jauh.Zahlia terpedaya dengan segala tindakan Tengku Syahran tadi. 
      “Apa awak buat ni? Tak sedar diri ke?” deras perkataan itu diucapkan dalam suhu kepanasan yang meledak-ledak. 
Zahlia sakit hati apabila peluang yang diberi telah diambil kesempatan oleh Tengku Syahran.Panas terasa wajahnya kerana merelakan tubuhnya sesuka hati dipeluk dan dicium Tengku Syahran.Seorang lelaki yang sentiasa ligat dengan tindakan yang tersendiri. 
     “Abang tengah sedarlah ni, sebab tu abang nak suruh Alia tolong sedarkan.” 
Tengku Syahran memeluk Zahlia ke dalam dakapannya semula.Lebih kuat dari tadi.Betul-betul menyelitkan perasaan benci dalam sanubari Zahlia yang bersungguh-sungguh menepis dada bidang yang kian mendekati itu. 
    “Syah, jangan macam nilah! Cuba senonoh sikit boleh tak?” 
Zahlia masih cuba mengelak wajahnya dari menjadi ciuman Tengku Syahran yang kian menggila hinggap di pipi.Pantang ada ruang yang terbuka. 
    “Tak… abang dah tak boleh nak senonoh! Abang tengah geram ni!” 
     “Hisy… janganlah.Saya tak suka.Lepaskan saya Syah.Ingat syarat perjanjian!” 
Tengku Syahran menghentikan perbuatannya.Dia membiarkan tangannya memeluk Zahlia tetapi wajahnya tidak lagi menggila seperti tadi. 
      “Abang nak tanya Alia.Alia ada ikut syarat yang abang kemukakan tu?” soal Tengku Syahran. 
     “Ada! Saya panggil awak panggilan yang awak nak, kan? Saya sebut perkataan tu depan famili awak.” 
     “Tunggu dulu! Abang ada cakap tak yang Alia perlu guna panggilan di hadapan keluarga abang aje? Hmm?” 
Lidah Zahlia kelu.Terdiam seketika.Zahlia sudah terlupa tentang syarat tersebut.Benarkah begitu? Zahlia tidak ingat! 
      “Abang mahu Alia panggil abang dengan panggilan yang abang kemukakan tu, tak kira di mana mulai sekarang.” 
     “Tak nak!” 
      “Betul?” Zahlia mengangguk. 
      “Baik.Abang akan batalkan perjanjian kita.Jaga-jagalah dengan syarat Alia yang ketiga tu.Abang tak benarkan menyentuh Alia, ya? Emm… tengoklah nanti! Bukan sentuhan biasa tapi yang lebih dari biasa pun abang boleh buat.”
Zahlia mengerutkan dahi.Air liurnya terasa kelat dan kesat.Beranikah lelaki ini? Oh, tidak! 
      “Jangan nak mengada-ngada Syah! Kalau awak lakukan macam tu, saya menjerit.Tak kisah orang nak tau atau apa.” Zahlia cuba memberanikan diri untuk membalas. Tengku Syahran tersenyum. 
      “Berani ke?” 
Tengku Syahran mula mendekatkan wajah.Zahlia berusaha menepis.Dia meronta-ronta dalam diam.Sebenarnya dia memang takut untuk menjerit.Nanti apa kata ahli keluarga yang lain? 
     “Lailahaillallah… dia mengacau kat sini.Bertuah punya budak! Badan berpeluh-peluh, terus memeluk isteri. Pergi mandi dulu.Kamu dah sembahyang ke belum?” suara yang kedengaran nyaring di muka pintu pantas menghangatkan kembali suasana suami isteri yang tadinya dingin. 
    “Alah mak, hari- hari menantu mak ni mencium bau badan suami dia.Takkan sebab peluh sikit ni, dia nak mengamuk pulak.Kalau nak mengamuk, awal-awal lagi dia dah halau Syah keluar! Kan Alia?” Tengku Syahran membalas kata-kata emaknya sambil tangannya erat merangkul tubuh Zahlia yang semakin lemas. 
Zahlia sesak.Semakin dilayan, semakin gila jadinya! 
      “Yalah tu! Tadi mak nampak tangan Alia yang dok menepis-nepis muka kamu tu apa? Syah, mak ni seorang isteri jugak.Bukannya mak tak tau perangai orang perempuan ni.Takut nak tolak kemahuan suami.Nanti dikata berdosa,” ucap Tengku Badariah selamba. 
Zahlia menahan ketawa melihat wajah kelat Tengku Syahran yang tersenyum kambing.Tengku Syahran mengetap bibir.Mencari jalan lain untuk mengusik Zahlia lagi. 
     “Tapi, mak tengoklah sekarang ni.Siapa yang peluk siapa? Menantu mak atau anak mak?” Tengku Syahran meleraikan rangkulannya di tubuh Zahlia.Gerakan pantas itu membuatkan Zahlia hampir terjatuh.Segera tapak tangan Zahlia memaut lengan Tengku Syahran.Erat dari tersungkur.Di waktu yang sama, Tengku Badariah menoleh ke arah pasangan itu.Zahlia terperangkap. 
Tengku Badariah tersenyum melihat gelagat pasangan anak-menantunya yang tidak jemu-jemu menyemai kasih.Teringat zaman mudanya yang indah sewaktu memadu kasih bersama Tengku Ismail.Lelaki yang dikenali atas pilihan keluarga.Ah, begitu cepat masa berjalan.Kenangan itu telah terlipat dan tersimpan rapi dalam kabinet hidupnya. 
     “Dahlah tu Syah! Pergi naik, mandi.Hisy.. mak yang tengok ni pun rasa lemas.Kalau mak jadi Alia, dah lama mak tolak badan kamu tu jauh-jauh.Belengas,” ujar Tengku Badariah meleraikan perasaan malu di benak Zahlia. 
     “Itu kalau mak yang jadi Alia.Masalahnya, sekarang Alia tak jadi mak.Sebab tu, 
dia tak mahu berpisah dengan Syah.Nanti merajuk.Konon-kononnya kita tinggalkan dia, padahal rindu.Tapi, malu nak cakap.” 
Zahlia terasa wajahnya kebas.Ucapan Tengku Syahran telah mencabar naluri kewanitaannya.Nak kenakan akulah tu! Kurang ajar! Jaga kau! 
     “Dengarlah cakap abang tu mak.Dia tu yang sebenarnya tak sedar diri.Mengada-ngadanya tak kena tempat.Manjanya berlebih- lebih.Kadang-kadang sampai tak tau macam mana Alia nak layan karenahnya lagi.Ini baru seorang, kalau dah ada anak nanti, lagi teruk agaknya!” Zahlia berkata berani. 
Tengku Syahran ternganga mendengar pengakuan berani dari mulut Zahlia tadi.Wah, sudah pandai bermain tarik tali nampaknya! 
Tengku Badariah menggeleng dan perlahan-lahan menyusup keluar dari pintu dapur.Biarlah mereka di situ! 
Zahlia segera menepis cengkaman tangan Tengku Syahran. 
     “Tak malu ke biar mak tengok? Jangan nak ambil kesempatan! Kawal sifat gatal tu sikit boleh tak?” 
Zahlia melepaskan rasa rimas yang berselirat dalam benteng hati.Jika diturutkan rasa benci, ingin dicekik batang leher Tengku Syahran sekuat yang boleh.Bengkak terasa hatinya melihat senyuman nakal yang terbentuk di wajah lelaki itu.Sabar… sabarlah wahai hati. 
     “Abang bukan malaikat yang dicipta tanpa hawa nafsu.Abang manusia biasa yang ada sembilan akal dan satu nafsu.Kalau ikutkan hati abang yang tak tahan ni, sekarang jugak abang nak terkam lepas tu dukung Alia bawa masuk bilik.Tapi, sebab abang cuba kawal sifat abang nilah, abang berjaya menenangkan nafsu abang yang bergelora ni tau!” sayup- sayup suara itu bergemaung di telinga. 
Zahlia terdiam.Ombak yang kian mengganas di dalam dada mematikan hasrat untuknya menjawab setiap tutur kata Tengku Syahran.Zahlia gugup dengan bisikan romantis di telinganya tadi. 

      “Fikirkanlah apa yang abang cakapkan tadi.Abang nak tengok sejauh mana Alia mampu kawal sembilan nafsu Alia tu.Jangan sampai suatu waktu, Alia yang menyerah kalah! Time tu Alia hanya mahu melihat wajah abang sahaja bila Alia membuka mata.” 



SETELAH menunaikan solat Maghrib berjemaah, ahli keluarga Tengku Ismail mula menjamu selera.Sambil menikmati masakan kampung yang terhidang, Tengku Ismail banyak berbicara tentang tujuan mesyuarat tersebut diadakan.Terselit juga pujiannya pada menantu kerana masakan yang memuaskan hati.Kembang hati Zahlia mendengarnya. 
Kini, Zahlia membeku di sisi Tengku Syahran.Rupa-rupanya begini acara makan besar dalam keluarga ini.Ingatkan acaranya formal.Nasib baik tak pakai lawa-lawa.Berdetik hati Zahlia. 
     “Bila ayah dan mak nak pergi?” suara garau Tengku Hakimi memecahkan segala angan-angan yang beraja di hati Zahlia sekejap tadi.
      “Lambat lagi.Mungkin lima atau enam bulan lagi.Tengoklah kalau tak ada aral melintang.Ayah sengaja beritahu awal sebab nak bersedia awal sikit,” ujar Tengku Ismail. 
      “Ayah pergi lama ke? Berapa hari?” sampuk Tengku Farhana. 
      “Mungkin sebulan setengah.” 
      “Sebulan setengah? Lamanya?” 
      “Ayah nak melancong.Sambil-sambil tu nak berbulan madu sekali lagi dengan mak kamu.Untung-untung boleh menambah ahli keluarga baru.” Gurauan itu membeliakkan mata Tengku Badariah. 
Dah tua-tua pun gatal lagi?” marah Tengku Badariah. 
Anak-anak yang mendengar ketawa gelihati.Termasuk Zahlia yang tercuit hatinya melihat kemesraan itu. 
     “Mak, ayah! Kimi pun ingat nak ajak Sofea dengan Murni berjalan.Dah lama benar tak bercuti.Kimi ingat nak ke Cherating,” celah Tengku Hakimi di tengah-tengah suasana yang rancak dengan gelak ketawa. 
     “Habis tu, Seri Nilam bagaimana?” 
     “Kimi pergi dalam dua minggu aje.Nak jumpa kawan.Sementara tu, suruhlah Taib tolong uruskan.Tak pun Syah kan ada.Neraca Holdings biarlah Adli tengok-tengokkan sekejap,” jawab Tengku Hakimi beria-ia. 
     “Suka hati kaulah.” Akhirnya Tengku Ismail bersuara. 
     “Alaa.. kalau semua bercuti, takkan kami nak tinggal berdua aje dalam rumah ni.Tak bestlah!” suara manja Tengku Hafizah kedengaran bersama-sama anggukan Tengku Farhana. 
    “Eh, kan Kak Alia dengan angah kamu ada.Apa yang tak bestnya?” soal Tengku Badariah pelik. 
    “Tak bestlah nak kacau daun.Mak ni macam tak faham-faham pulak dengan privacy orang yang baru kahwin ni! Kan angah?” 
Tengku Syahran ketawa besar.Namun, disatu sudut batin Zahlia terjentik perasaan tergamam dengan aksi spontan kedua-dua adik ipar dan Tengku Syahran.Semuanya bagaikan dirancang.Di mana harus Zahlia mencari kekuatan untuk menolak dakwaan itu.Zahlia terasa bagaikan digam. 
    “Tapi ayah…“belum sempat Zahlia berbicara, pinggangnya telahpun dirangkul oleh Tengku Syahran. 
     “Apa Alia?” wajah hairan Tengku Ismail singgah di dinding wajah Zahlia. 
Tengku Syahran semakin kuat merangkul pinggang Zahlia.Memberi isyarat kepada isterinya supaya jangan bersuara.Zahlia terkedu. 
     “Macam ni ayah, sebenarnya Ana dengan Fiza ada berjanji nak ajak Alia berjalan ke kampung kita.Syah rasa biar Syah ajelah yang temankan Alia nanti.So, kalau Ana dengan Fiza nak pergi berjalan masa semua tak ada nanti, pergilah! Lagipun, mereka sedang bercuti waktu tu.” 
Demi mendengarkan ucapan itu, Zahlia mengerutkan dahi.Dia ingin membuka mulut untuk memprotes.Tetapi, sekali lagi dia tewas. 
    “Lagipun, betul jugak kata Fiza tu.Syah pun nak ambil peluang duduk berdua-duaan dengan isteri sendiri bila Villa ni kosong! Terasa alam rumah tangga sikit.Betul tak Alia?” 
Ayat itu bagaikan mencarik-carik tulang belulang Zahlia.Lemah segala sendi yang selama ini ketat diskru.Tetapi, entah apa yang menyantau akalnya untuk bersetuju dengan pernyataan itu, dia sendiri tidak tahu.Yang pasti lidahnya bagaikan dikekang untuk membalas rasa tidak puas hatinya yang mula bersarang di dalam jiwa tatkala itu. 
Tengku Ismail dan Tengku Badariah tersenyum.Setuju dengan setiap rancangan anak-anaknya. 
    “Pak Ngah, nanti masa Pak Ngah pergi jalan-jalan dengan Mak Ngah, belikan Kak Long bukucolour-colour tau!” ayat yang keluar dari mulut Tengku Murni menyentakkan ke semua mulut yang rancak bersembang. 
Tengku Syahran berpaling ke arah anak buah tunggalnya sambil tersenyum.Tengku Hakimi memandang Sofea pelik. 
    “Aikk, sejak bila Uni pandai bahasakan diri dengan Kak Long ni?” tegur Tengku Syahran sambil meriba Tengku Murni ke pangkuannya. 
    “Kat sekolah Uni ada budak lelaki tu panggil kawan Uni, Kak Long.Bila Uni tanya, dia kata budak lelaki itu adik dia.Uni pun nak adik lelaki jugak.Boleh buat kawan.” Kata-kata itu mencetuskan ketawa yang panjang dalam villa itu. 
Kecerdikan bicara si anak kecil kian terpampang jelas di penglihatan penghuni Villa Sakura.Zahlia tersenyum.Rasa marah pada Tengku Syahran cuba diletak ke tepi.Dia tidak mahu merosakkan moodnya yang kian pulih. 
      “Kalau Uni nak adik lelaki, suruhlah mama Uni lahirkan adik.Lepas tu, mintalah berapa banyak adik lelaki pun, mesti Uni dapat,” usikan Tengku Syahran itu sengaja ditujukan kepada Sofea yang sedang ketawa dengan keletah Tengku Murni.Tengku Hakimi turut ketawa. 
     “Alaa… mama Uni lahirkan adik lambat lagi.Uni nak adik lelaki yang ada dalam perut Mak Ngah!”
Gulp! Rasa kelat air liur yang ditelan.Buat beberapa saat, Zahlia terasa dunianya 
sunyi.Jarum jam juga bagaikan 
terhenti berdetik.Suara di sekeliling senyap dan bisu serta- merta.Zahlia tergemap di tempat duduknya.Dia tersedar apabila jari-jemari Tengku Syahran menjalar-jalar di pahanya. 
     “Em, tengok tu Alia.Budak sekecil tu pun mahu perubahan.Inikan pulak kami yang memang dah lama mengidam nak menimang cucu lelaki.Kamu dah berkahwin lebih dua bulan, takkan tak ada tanda-tanda lagi?” Tengku Badariah bersuara. 
Air liur yang perit tersalur ke anak tekak Zahlia ditelan sedaya mungkin.Dia kehilangan punca bicara.Sempat melirik ke arah Tengku Syahran di sisi meminta bantuan.Tengku Syahran mengukir senyuman nakal.Mengerti dengan pandangan Zahlia yang sedang menggelabah mencari alasan. 
Itulah, dulu lagi aku dah cakap jangan bagi harapan.Sekarang, apa nak jawab? Sentuhnya pun tak, nak ada tanda-tanda konon! 
      “Belum ada lagi mak.Tapi, semenjak dua menjak ni Alia ada mengadu yang tekaknya rasa tak sedap.Loya katanya.” Tengku Syahran membuka mulut.Sengaja dipukul hati Zahlia dengan usikan itu. 
Zahlia mengerutkan dahi.Geram juga dengan Tengku Syahran yang tidak habis-habis mahu menipu.Wajah Zahlia asyik menahan malu kalau terus-terusan begitu.Tetapi, apa alasan yang harus diberikan kalau Tengku Syahran tidak terlebih dahulu menuturkan kata? Ah, terlalu banyak pembohongan yang telah berlaku! 
      “Betulkah Alia? Alhamdulillah kalau macam tu!” 
     “Mak jangan berharap sangat.Itu cuma tekaan aje.Abang belum bawa Alia ke klinik lagi untukcheck.Kalau ada rezeki, adalah mak!” tiba-tiba Zahlia terpanggil untuk bercakap.Tengku Syahran menoleh sekilas ke arah Zahlia. 
Tiba-tiba pipi Zahlia terasa hangat dikucup oleh emak mentuanya.Zahlia tersipu.Tersentuh jiwanya.Rasa bersalah menguasai dirinya.Namun, adegan pendek itu diganggu dengan bunyi loceng yang berdering di muka pintu.Tengku Farhana bangun dan melangkah ke muka pintu. 
Tidak lama kemudian, Tengku Farhana melangkah di ruang makan bersama seorang tetamu wanita.Wajah yang tidak pernah diundang oleh kamar hati Zahlia untuk ditatap.Kenapa wanita ini hadir di saat-saat aku sedang terawang-awang dengan duniaku sendiri? 
Kacau! Hilang segala impian yang melambung tinggi.Luruh segala perasaan bahagia yang baru ingin menyapa. 
      “Kau anak haram! Kau anak luar nikah! Perempuan jalang.” Hati Zahlia pedih kembali.Kata-kata yang cuba dilupakan itu, mengejar- ngejar mengisi ruang mindanya.Zahlia tertekan.Bibirnya terkunci rapat. 
      “Maafkan Ida sebab mengganggu akak.Ida ada kecemasan sekarang ni.Nak balik kampung.” Suara lunak si wanita itu mengganggu fikiran Zahlia.Melayang pergi kata-kata perih itu dari ingatan.Yang tinggal hanya bekas-bekas luka yang masih berparut. 
       “Kenapa Ida?” soal Tengku Badariah cemas. 
       “Mak Ida sakit kat kampung.Jadi, Ida nak minta tolong akak uruskan mesyuarat persatuan hari esok.Kalau Ida sempat, dua tiga hari lagi Ida balik.Tapi, kalau penyakit mak Ida tak sembuh, mungkin minggu depan Ida balik.Akak tolong uruskan ya?” ramah kedengaran namun perit menerajang Zahlia. 
       “Yalah! Tapi, terlanjur Ida datang ni, jamahlah dulu,” pelawa Tengku Badariah. Raja Khalida menggeleng. 
      “Tak apalah kak.Ida takut lambat sampai.” Bantah Raja Khalida. 
      “Tak baik begitu Ida.Bak kata orang, rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari.Makanlah dulu.Ni, semua Alia yang masak!” Bagaikan magnet, gerak kaki Raja Khalida laju berjalan ke meja.Seraut wajah lembut yang dirindui bagaikan memberi semangat untuk Raja Khalida melangkah.Terpancar sedikit cahaya iras wajah suaminya di dalam anak mata milik Zahlia.Anak mata yang bundar dan berwarna hazel itu menggamit-gamit naluri keibuan Raja Khalida untuk merenung Zahlia tanpa jemu.
      “Angah, Abang Adli telefon!” sayup-sayup terdengar suara Tengku Hafizah memanggil Tengku Syahran.Zahlia tidak sedar bila telefon berdering. 
Tengku Syahran berlalu pergi.Tidak lama kemudian, Tengku Syahran kembali semula. 
       “Mak, ayah! Syah nak ke hospital.Anis dah bersalin!” 
Zahlia mengalihkan pandangan ke arah Tengku Syahran yang kalut mencapai kunci kereta.Lama dia memandang sambil berfikir sesuatu. 
      “Abang, Alia nak ikut.” Tanpa diduga, ayat itu lahir dari bibir Zahlia.Tengku Syahran menggantungkan langkah sambil mengangguk gembira dengan permintaan Zahlia. 
      “Baguslah Alia kalau kau nak pergi.Manalah tau terkena badi si Anis tu, cepatlah mak dengan ayah menimang cucu.” Sempat ungkapan Tengku Badariah mengena cuping telinga Zahlia.Zahlia tersenyum kecil.Tidak semesra tadi. 
     “Kirimkan salam mak pada Anis.Kalau ada masa nanti, mak datang jenguk.” 
Tengku Syahran mengangguk dan melangkah keluar dari Villa itu bersama Zahlia. 

No comments:

Post a Comment